Spiga

Terbaru : Saat Cinta Bertasbih

jundi

Kepada sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi saya. Minta maaf banyak-banyak kerana tak sempat nak update blog. Rajin menulis buku di samping menumpukan kepada tesis Phd ana. Asif Jiddan.

USTAZ RIDUAN - MISI AMAL SELURUH DUNIA -

Berjumpa Ustaz Riduan tidak sah kalau tidak bercerita tentang misinya bersama Yayasan Amal Malaysia ke seluruh dunia membantu saudara seagama yang susah mahu pun ditimpa bencana. Dia dan Amal umpama sebati. Berpadanan dengan motto Amal - Working for Humanity, Serving Allah, Riduan sudah menjejak merata pelusuk dunia. Menghulur bantuan ke Aceh (tsunami), gempa bumi di Pakistan dan baru-baru ini gempa bumi yang melanda Yogyakarta. Berkerja keras mengumpul dana untuk disedekahkan pada yang memerlukan, dia tidak pernah kenal putus asa. Siang malam, di mana-mana, ingatannya hanya satu - mahu berbakti.

Siapa Riduan Mohamad Nor?

Seorang bapa yang masih muda, bergelar penceramah agama bebas, perjuangan bersama Yayasan Amal mengalir umpama air dalam darahnya. Kami pernah sama-sama ke Pakistan dan sekembali ke Malaysia, saya diberitahu Riduan dan beberapa warga Amal ke sana sekali lagi.

Gambar kiri: Riduan menyerahkan derma kepada wakil Pakistan di Balakott.

"Walau pun dah balik, kami tidak berhenti tetapi terus mengumpul derma. Kini sudah ada di tangan jadi kena menghantarnya kepada yang memerlukan." Jelasnya. Kunjungan kedua itu lebih menguji ketabahan kerana dengan cuaca di Pakistan yang di bawah beku, perjalanan bukan mudah malah mencabar sekali untuk sampai ke satu-satu bandarnya seperti Balakott dan Kashmir. Tetapi Riduan dan 'geng' Amal sampai juga menghantar amanah rakyat Malaysia yang prihatin.

Selain sibuk dengan misi Amal, Riduan juga aktif mengarang buku-buku ilmiah keagamaan, politik islam dan hal ehwal semasa seperti Pertembungan Iman dan Kufur, Duka Acheh Duka Kita, Penghinaan Terhadap Rasulullah: Implikasi Hukum, Menelusuri Sejarah dan Isu Kontemporari, Catatan Pilu Tragedi Gempa Bumi Pakistan serta banyak lagi. Beliau turut terlibat menulis bentuk tulisan akademik dan semi-akademik.

Melawat khemah penempatan mangsa gempa bumi di Balakott, Pakistan. Riduan mesra dengan rakyat tempatan.

Pemilihan Pemuda PAS Pusat 07/09

Pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2007/2009 bagi Muktamar ke-48 Pemuda PAS Pusat menyaksikan anak Menteri Besar Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mendahului senarai undi terbanyak jawatan Exco Pemuda PAS Pusat dengan 212 undi.

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Dewan Pemuda PAS Pusat, Dato' Wan Mutalib Embong semasa mengumumkan keputusan pemilihan turut mengumumkan Azman Shafawi Abdul Rani sebagai Naib Ketua Pemuda yang baru menewaskan pesaingnya, Ahmad Sabki Yusof.

Sementara Timbalan Pengerusi Tetap disandang oleh bekas Ketua Pemuda PAS Kedah, Aris Awang.

Selain itu 11 dari 12 jawatan Exco pula dimenangi oleh, Ustaz Riduan Mohd Noor (210 undi); Zaki Ibrahim (208); Ahmad Nazri Chik Zain (181); Ahmad Sabki Yusof (171); Musoddak Ahmad (153); Ahmad Baihaqi Atikullah (140); Ustaz Kamal Ashaari (135); Ariffin Deraman (131); Norazli Musa (127); Ustaz Solehin Mukhyi (122) dan Zolkarnain Zainul Abidin Al Hafiz (97).

Sementara itu, terdahulu jawatan Ketua Pemuda PAS disandang oleh Salahuddin Ayob yang menang tanpa bertanding bersama dengan Timbalannya, Ustaz Nasruddin Hassan @ Tantawi.

Jawatan Pengerusi Tetap pula disandang oleh Ustaz Misbahul Munir Masduki juga tanpa bertandin

Kesaktian Ustaz Riduan Mohd Nor


Petang tadi sebaik sahaja selesai mesyuarat , saya menerima senaskhah buku yang berjudul Makkal Sakhti Analisis Pilihanraya Umum ke 12 dari pengarangnya sendiri al Fadhil Ustaz Riduan Mohd Nor yang juga merupakan EXCO DPPP.


Dalam diam saya sangat mengkagumi tokoh EXCO DPP Pusat ini justeru kehebatannya mampu menghasilkan buku hampir 2 bulan sekali .
Malah keupayaan beliau menghasilkan buku pada setiap keluarannya mengatasi keupayaan pembaca, yang saya kira masih ramai yang belum sempat menghabiskan bacaan terhadap buku ustaz Riduan sebelumnya , kini terbit pula buku terbaru.

Satu kegigihan yang sangat perlu dan wajar dicontohi. Saya sering memberi perhatian kepada kesungguhan dan ketekunan Yb. Salahuddin Ayub selaku Ketua DPPP dalam membaca dan mentelaah buku - buku terbaru . Malah beliau pada setiap kali mesyuarat bulanan pemuda PAS Pusat pasti akan membawa sebuah buku baru yang sedang dibacanya dan setiap kali itu pula beliau akan kempen dan menasihati supaya semua exco pemuda menghabiskan bacaan sekurang - kurangnya sebuah buku baru sebulan.

Apa yang uniknya , Ustaz Riduan bukan membaca sebuah buku baru setiap bulan tetapi hampir berjaya menghasil dan menerbitkan sebuah buku baru pada setiap bulan .

Bagi rakan - rakan , usahkan nak membaca buku - buku baru ustaz Riduan , tolong menjualkan buku - buku beliau sahaja , belum sempat habis yang lama sudah keluar buku baru . Pendek kata , keupayaan beliau tidak terkejar oleh yang lain.

Kesempatan ini , sempena menerima cenderamata dari Ustaz Riduan berupa buku terbarunya yang bertajuk Makkal Sakhti , saya ingin mengucapkan tahniah malah tidak keterlaluan kalau saya mewakili DPPP merakamkan penghargaan kepada Ustaz Riduan yang saya kira boleh menjadi contoh yang baik kepada rakan - rakan seperjuangan yang lain.

Sekarang saya sedang membaca buku Makkal Sakhti , saya percaya ( sebagaimana apa yang berlaku sebelum ini ) belum sempat saya habiskan buku Makkal Sakhti ini Ustaz Riduan Sakhti akan menghasilkan sebuah lagi buku baru .

Bila lah saya juga mampu mendapat kesaktian seperti itu ?

- Ustaz Nasrudin Hasaan At Tantawi (www.khabarpahang.com)

Pemuda PAS edar rislaah ingatkan mereka yang alpa

ihsan : Harakah

Di satu sudut di Jalan Masjid India, kira-kira 20 orang pemuda siap berkopiah dan berbaju Melayu masing-masing memegang naskah risalah di tangan.

Kelibat Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembela Islam Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Noor kelihatan.Nah cukup segak beliau mengenakan pakaiannya.

Penulis menghampiri beliau untuk menyapanya. Dengan nada mesra, Ustaz Riduan membalas dan bertanya khabar.Satu sahaja matlamat anak muda yang dipimpin Ustaz Riduan berkumpul depan Masjid India ialah untuk membawa misi 'ekspedisi dakwah Pemuda PAS' sempena sambutan Malam Kemerdekaan ke-50.

Risalah bewarna hijau antara lain mengandungi nasihat dan pedoman Islam dan kemerdekaan selain pandangan Islam tentang penghayatan kemerdekaan.

Anak-anak muda pimpinan Ustaz Riduan siapsiaga untuk menjalankan misi dakwah mereka tatkala anak muda yang lain sibuk memgang bahu teman wanita masing-masing (mungkin inilah erti merdeka bagi golongan ini).

Ustaz Riduan yang sempat bercakap lanjut dengan penulis antara lain menyatakan pada malam ini mereka mahu menjalankan misi dakwah dan pencegahan maksiat di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Antaranya, Taman Tasik Titiwangsa, Dataran Merdeka, Bangsar, Jalan Sultan Ismail dan KLCC.

Azam yang ditanamkan kumpulan Pemuda PAS ini cukup membuatkan denyut jantung penulis semakin tegap bergerak kerana kagum dengan kesungguhan mereka membelah kesengsaraan malam kebebasan ini untuk mengajak rakyat kembali kepada penghayatan nilai kemerdekaan menurut Islam.

Satu persatu orang yang lalu lalang di depan mereka di LRT Masjid Jamek disapa dan diberi risalah.Ada yang tersenyum menerima tak kurang juga ada yang sinis.

Lebih teruk lagi ada juga yang menunjukkan aksi marah bila risalah diserahkan. Beberapa orang ahli MIC yang lalu di kawasan itu hanya memerhati dengan mata terbeliak tindak tanduk Pemuda PAS mengedar risalah kepada orang ramai.

Jam menunjukkan 7.15 minit malam, Ustaz Riduan mengarahkan anak buahnya untuk berhenti sementara bagi menunaikan solat berjemaah di masjid.

Nah indahnya Islam itu, mereka yang menghayatinya pasti dapat merasakan setiap yang dilakukan itu Allah juga yang membalasnya, dengan tidak lupakan perkara wajib, umat Islam juga dituntut untuk mencegah kemungkaran menyeru kepada kebenaran.

Inilah yang dilakukan oleh kumpulan anak muda PAS ini.

Azan bergema, mereka bersenda

Tepat jam 7.18 minit malam, azan Maghrib bergema dari corong pembesar suara Masjid Jamek Kuala Lumpur dan Masjid India, namun Warga kota yang lain sibuk mundar mandir ke jalan-jalan raya sekitar Dataran Merdeka untuk menyaksikan 'count down' di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kelibat Puteri Umno menjelma, aksi garang dipamerkan kepada sang putera semata-mata untuk bersenda. Azan semakin lantang berbunyi, tepuk menepuk menjadi penghias dan pembuka kata anak muda berbaju putih berkain merah jambu dengan teman-teman pemudanya.

Malangnya tak siapa menjangka ramai di kalangan mereka mungkin sekali terlupa seruan Allah memanggil mereka ketika azan bergema.

Yang berpakaian kemas, seksi, seksa dan pakaian melambangkan berjiwa merdeka menghiasi sepanjang jalan menuju ke Dataran Merdeka. Penulis sempat bertegur sapa dengan beberapa orang yang katanya datang untuk menyambut malam 31 Ogos.

Rata-rata yang ditemui penulis selepas solat Mahgrib memaksudkan merdeka itu 'bebas' boleh buat apa sahaja dan boleh lakukan apa sahaja termasuk "bebas maksima" pada malam 31 Ogos.

"Alah bang malam ini polis tak kacau punya, kami boleh buat apa sahaja," kata seorang pemuda berambut ala 'mohican'.

Secara keseluruhannya jawapan yang diterima dari kalangan mereka yang berpusu-pusu ke Dataran Merdeka bagi menyambut malam 31 Ogos ini satu, "sambutan ini setahun sekali, tapi kali ini lebih meriah sebab 50 tahun merdeka, jadi apa salahnya sambut dengan cara begini'.

Inilah gadis pilihan masa kini

Di satu tempat yang lain iaitu di Bukit Bintang sejurus selepas Isyak suasana semakin hangat dengan kelibat seksi gadis Melayu beraksi di sekitar Bintang Walk.

Tidak kurang dari kalangan Cina dan India, tetapi bilangannya tidak sebanyak gadis Melayu. Nah hebatnya gadis Melayu macam dalam lagu J Mizan, Gadis Melayu.

Namun anak gadis Melayu ini ada yang gayanya seperti 'seekor kucing laparkan ikan' tidak kurang yang 'malu-malu tapi mahu'.

Sementara kumpulan anak-anak muda lelaki pula berpakaian ala barat, rambut bewarna kuning, hijau dan perang memulakan aksi-aksi mereka, ada yang membawa tin minuman terlarang.

Malam bebaslah katakan, yang terlarang pun boleh jadi tidak terlarang, inilah yang mungkin sekali dimaksudkan golongan ini.

Dari gaya bercakapnya penulis percaya mereka ini dari keturunan anak Melayu dan bukannya 'mat salleh'namun pakaiannya sedikit pun tidak menunjukkan mereka ini Melayu, apatah lagi 'Melayu Islam Hadhari'.

Tegur menegur, mesra hingga terbawa

Di suatu sudut di Bintang Walk, ada beberapa remaja Perempuan yang dalam lingkungan belasan tahun (mungkin sekali masih bersekolah) seronok berbual manja dengan beberapa jantan mungkin sekali mat rempit kerana kelihatan mereka memegang topi keledar bersama.

Tegur menegur, sapa menyapa yang akhirnya menjadi titik pertemuan dua mata untuk bersetuju bonceng membonceng antara satu sama lain bagi merayakan malam kebebasan.

Sedar atau tidak mungkin sekali maruah empunya diri mungkin terbebas malam ini setelah mat rempit jadi penghibur hati merayakan malam penuh kebebasan.

Nah, gamatnya Kuala Lumpur tak terhingga sejak jam 5.30 petang lagi LRT, Bas dan jalan raya dipenuhi anak Malaysia dan pendatang yang mahu meraikan malam 31 Ogos.

Suasana makin gawat.Denyut nafas remaja muda makin pantas, tangan-tangan si jantan mula merayau mencari sasaran nafsu mereka meskipun dalam bersesak berkumpul melaungkan 'Merdeka'.

Sementara yang di gadis teruja walaupun merah padam mata menahan seronok dipegang sedemikian rupa oleh teman-teman lekakinya.

Apa nak dihiraukan, malam merdekalah katakan.Kali ini sambutannya cukup meriah kerana 50 tahun usia negara.

Beberapa minit lagi sahaja jam akan menunjukkan 12.00 malam, keghairahan anak-anak muda terpancar dari raut wajah mereka untuk sama-sama bebaskan malam 31 Ogos dengan sebebas-bebasnya.

Mari mengira

Detik yang dinanti tiba!Ramai yang menjerit suka, yang mengira 'count down' seperti anak sekolah mengira, dari yang besarhingga nombor kecil semuanya di kira untuk menyatakan saat-saat terakhir menjelang usia 50 tahun.

Kiraan bermula hingga ke 59 saat semuanya diperhatikan dengan penuh minat.Yang memegang erat 'makwe' hingga sesak nafas dibuatnya.Yang sendiri leka memerhatikan gelagat yang lain.

Jauh di sudut hati penulis, kesal anak muda jadi sebegini kerana semata-mata mahu merayakan malam kemerdekaan.

Berjalan pula penulis ke taman Tasik Titiwangsa, nah di sana banyak lagi cereka yang terhidang sempena malam 31 Ogos ini.

Wah yang berpelukan bagai suami isteri tak terkira, yang berkucupan hingga lupa dunia, yang bercumbuan tak nampak yang melintas di mata dan yang asyik bermadu asmara lena dibuai malam durjana.

Bila disapa mereka hanya tersipu, tak kurang yang menjerkah penulis katanya bukan urusan penulis jika mereka sekali pun mahu ke neraka.

Dan bukan hak penulis untuk tentukan Syurga. Namun sekadar ingat mengingati semasa manusia.Penulis meneruskan langkah ke beberapa lokasi lain dan jam menunjukkan 3.00 pagi.

Aksi berbasikal, rempit dan 'seluar kecil'

Sekumpulan anak remaja (mungkin lingkungan 12 hingga 14 tahun) mengayun basikal dengan aksi-aksi berani di selang seli laungan merdeka. Kayuhan mereka tak serupa Rosman Alwi atau M.Kumaresan, tetapi aksinya tak tercabar dek 'jagoan' basikal negara.

Sambil membuat aksi, mereka tak tersangka bahaya yang datang mungkin dari arah belakang mereka. Seorang tertiarap kerana bertembung sesama sendiri dari arah belakang tatkala yang seorang lagi terlebih 'willie' basikal mereka. Aksi ala mat rempit bermula.

Beberap minit kemudian, kelihatan kelibat anak-anak muda dengan motor 'kapcai' nya beraksi sambil yang memboncengnya ghairah hingga tidak tersedar 'seluar kecil' mereka di perhati mat-mat kereta.

Hangatnya malam merdeka.Mata penulis semakin tidak mampu untuk dibuka.Jam hampir 4.00 pagi dan penulis mahu beredar dari memerhati malam durjana. Pulang ke pejabat untuk menyelesaikan tugasan menulis merencana segala yang terlihat di pandangan mata.

Teringat juga di minda apa khabarnya rakan penulis yang turut membuat liputan pada malam itu. Mana tidaknya beliau si anak dara yang ditemani rakannya juga yang belum berpunya. Menaiki motorsikal semata bertujuan melapor yang benar belaka. Intan dan rakannya mungkin sudah pulang ke rumahnya, dan harap mereka selamat hendaknya itu sahaja.

Pening kepala tak terhingga memikirkan betapa hebatnya malam merdeka yang dirayakan dengan perayaan ala Umno/Barisan Nasional malam tadi. Ucapan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula lansung tidak membakar semangat, dengan beberapa kali laungan merdeka yang cuba dilaungkan dengan suara yang serak tidak memukau penonton yang hadir.

Malam ini penulis akan ke Stadium Merdeka, di sana ada rapat umum raksasa di taja Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (Kekkwa) dan di sana juga pesta seperti malam tadi bakal bersambung semul

Bicara dalam demonstrasi


Pertahankan Islam Tercinta


Kelihatan anak buah penulis iaitu Nasaie memerhati penulis disebelah sementara penulis sedang berucap

Pertahankan hak kita

Mansuh, mansuh..mansuh ISA..

Penulis bersama YB Salehuddin dan Dr Zulkifli Ahmad dalam demonstrasi membantah anugerah sir kepada Salman Rushdie

Hantar Memorandum Kepada KEKKWA


Penulis bersama YB Salehuddin dan Sdra Kamaruzaman (Ketua Pemuda PAS Wilayah) menyerahkan memorandum kepada wakil KEKKWA

Ijtima PAS Wilayah perluaskan kekuatan di ibu kota!

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Hrkh) - Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Ijtima PAS Wilayah hujung minggu ini, 4 Mei 2008 (Ahad) di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar dengan mengemukakan tema "PAS Wilayah Persekutuan: Pasca Pilihan Raya Umum Ke 12".

Demikian dimaklumkan oleh Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad dalam satu kenyataan kepada semua media hari ini.

Beliau meminta semua ahli PAS di Wilayah Persekutuan dapat menghadirkan diri ke program ini bagi membincangkan usaha memperkasakan PAS di semua peringkat disamping meningkatkan keupayaan gerakerja dalam mempertahankan kawasan Parlimen Titiwangsa yang baru dimenangi PAS pada pilihan raya umum lalu.

"Ijtima ini juga bertujuan untuk menambahbaikan gerakkerja dan aktiviti yang berkait dengan pengundi khususnya dalam khidmat kemasyarakat dan kebajikan," ujarnya.

Mohamad Noor berharap dengan kelahiran anak sulong PAS (kemenangan) yang membanggakan di Parlimen Titiwangsa setelah lebih 30 tahun PAS bertapak di ibu kota mampu menjadi titik permulaan untuk PAS terus melangkah lebih jauh membebaskan Parlimen Putrajaya dan Labuan dari dijajah oleh BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub akan memberikan ucaptama dan merasmikan ijtima kali ini. Ia bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 2 petang. Selain, Salahuddin, ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo Lo Datuk Ghazali turut memberikan ucapan pada program ini.

Sementara Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Dr. Lo Lo Dato' Ghazali dan Mohamad Noor Mohamad akan mengisi kemuncak ijtima pada sebelah malamnya, memberikan pidato perdana di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat jam 9.00 malam.

Majlis akan dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Ustaz Mohd Nazir Zakaria yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Putrajaya.

Tafsir al-Maidah ayat 79: Cegah mungkar dengan kekuasaan

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang disebut oleh Ibnu Majah di dalam kitabnya bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Suruhlah kamu kepada yang baik dan cegahlah kamu daripada kemungkaran, sebelum berlaku bahawa kamu berdoa, tetapi tidak diperkenankan kepada kamu."

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman."

Seseorang itu jika melihat kemungkaran berlaku di hadapan matanya, sekiranya boleh diubah dengan tangan, makan gunakanlah ia, jika berkuasa berbuat demikian.

Sebagai contoh sekiranya benda itu layak dibakar api atau dihancurkan, maka benda itu perlulah dilakukan demikian selepas ditegur dengan lidah, kemungkaran itu tetap tidak berubah dengan syarat jangan membawa fitnah yang lebih besar.

Yakni sekiranya cegahan dibuat dengan tangan, berlaku tindakan yang lebih besar fitnahnya maka ia adalah dilarang kerana kita hendaklah mengelak fitnah yang lebih besar.

Ertinya jika menggunakan tangan, kemungkaran itu berhenti, maka adalah wajar cegahan dengan tangan digunakan.

Sesetengah ulama mengatakan bahawa yang mempunyai kemampuan itu adalah kerajaan. Dia berupaya menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran dengan tindakan undang-undang.

Jangan pula berlaku kerajaaan sendiri memberi lesen untuk membenarkan orang ramai melakukan maksiat atau kemungkaran dengan meluluskan lesen judi, arak dan seumpamanya.

Kerajaan memberi alasan kononnya tindakan tersebut bertujuan mengawal kegiatan maksiat di kalangan rakyat. Jika demikian kenapa lesen mencuri tidak diberikan kepada pencuri dan perompak untuk mengawal berlakunya kecurian dan rompakan?

Bukan bererti mengawal sesuatu kegiatan itu dengan memberi lesen kepada sesuatu organisasi atau indivisu tetapi mengawal juga boleh berlaku dengan menyediakan tempat atau sebaliknya.

Jika diambil contoh untuk mengawal supaya orang ramai tidak buang air merata justeru disediakan tandas, bukan bererti untuk mengawal kecurian dan rompakan disediakan pula tempat untuk aktiviti jenayah berkenaan.

Ini kaedah yang tidak boleh dipakai dari segi undang-undang dan akal fikiran yang waras. Bukan semua kaedah boleh dipakai dalam semua perkara kerana kaedah penyelesaiannya berlainan antara satu perkara dengan satu perkara lain.

Misalnya, untuk menimbang emas dan getah mestilah memakai dacing berbeza bukan hanya dengan menggunakan satu dacing sahaja.

Ertinya pemerintah mesti mencegah kemungkaran, iaitu mengenakan tindakan undang-undang mengikut hukum Islam terhadap segala kesalahan jenayah dan maksiat kerana inilah maknanya mengubah dengan tangan.

Dan antara orang yang mampu mengubah dengan tangan juga adalah ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka melakukan kemungkaran termasuk tidak mengerjakan solat maka menjadi tanggungjawab ibu bapa menggunakan kuasa yang ada pada mereka termasuk menggunakan tangan bagi mengubah perbuatan mungkar yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; "Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang ketika umurnya tujuh tahun. Pukullah mereka bila umurnya 10 tahun (jika tidak mengerjakan sembahyang)."

Begitulah juga dalam perkara yang lain. Apabila seseorang anak itu mencapai umur 10 tahun, maka diizinkan mengenakan tindakan memukul ketika melakukan kesalahan yang bercanggah dengan hukum agama.

Pukulan yang dibuat ialah pukulan mendidik, bukan pukulan marah dan geram yang mencederakan tubuh badan anak berkenaan.

sumber: harakahdaily.net

Berkat sayang, muliakan kucing

Sempena wukuf di Arafah hari ini (18 Disember) dan Hari Raya Korban esok (di Arab Saudi), disiarkan Kisah Dari Tanah Suci ini untuk iktibar bersama. Kisah ini mengenai seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji kira-kira enam tahun lalu.

Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.

Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.

Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.

sumber: harakahdaily.net

Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.

Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.

Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.

Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.

Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.

Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.

Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.

Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.

Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.

Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda.

Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu..

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solihah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.

Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.

Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.

Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti. Amin.

Apabila hukum Allah diketepikan

Oleh: Dato' Dr Haron Din

Penyelewengan hukum-hukum Allah dilakukan orang-orang terdahulu seperti umat Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. dengan mengubah agama Allah. Apakah umat Nabi Muhammad s.a.w. juga berlaku seperti itu iaitu mengubah agama Allah melalui al-Quran yang diturunkan kepada mereka, dengan mengubah hukum-hakam-Nya? Bolehkah Dato' jelaskan sejauhmanakah ia berlaku dan apakah kesannya kepada akidah ummah. - Umar Farouk, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh

Jawapan | Al-Quranul Karim, terkawal daripada sebarang penyelewengan, pindaan dan perubahan.

Ayat-ayatnya terpelihara, kekal abadi sebagai ayat Allah tanpa penyelewengan hingga ke hari Kiamat. Ini adalah jaminan Allah, selaras dengan firman-Nya (mafhum): "...Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia, tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku; dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah, ayat 44)

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memeliharanya dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9)

Dalam kedua-dua ayat ini, Allah memberi jaminan bahawa Dia akan menjaga ayat-ayat (al-Quran) daripada sebarang penyelewengan.

Tidak seperti kitab-kitab sebelum al-Quran, tiada jaminan sebelumnya daripada penyelewengan.

Oleh kerana al-Quran tidak boleh diubah atau dipinda, maka manusia kufur cuba mencari jalan untuk mengubahnya dengan pelbagai cara dan menukar-nukarkan ayatnya jika memungkinkan mereka berbuat demikian.

Sepertimana orang-orang Yahudi dahulu, apabila Allah SWT menurunkan at-Taurah kepada mereka, yang di dalamnya Allah melarang mereka menangkap ikan pada hari Sabtu.

Mereka mengikut perintah Allah dengan tidak menangkap ikan pada hari Sabtu, sebaliknya mereka menyelewengkan hukumnya dengan memasang jaring pada hari Sabtu dan mengumpulkan ikan ke dalam jaring.

Keesokan harinya (hari Ahad), barulah mereka menangkap dan membawa ke darat, ikan-ikan yang sudah terperangkap di dalam jaring sejak hari Sabtu.

Itu suatu helah jahat atau suatu penyelewengan.

Selepas itu, mereka menyelewengkan perintah Allah dalam a-Taurah sesuka hati mereka.

Riba yang diharamkan Allah, Yahudi menghalalkannya. Menipu helah mengambil harta orang secara batil (yang diharamkan), dihalalkan jika (orang tersebut) bukan daripada kalangan Yahudi.

Zina yang diharamkan Allah, dihalalkan mereka kalau bukan dengan Yahudi.

Menipu, mengkhianati yang diharamkan, dihalalkan kalau bukan dengan Yahudi.

Ada banyak lagi perkara (perlanggaran hukum) yang kaum ini lakukan.

Dalam agama Nasrani juga berlaku berbagai perbezaan di antara satu kitab dengan kitab al-Injil yang berlainan versinya, bercanggah hukum dan amalan sehingga jelas memecahbelahkan orang-orang Kristian kepada beberapa puak.

Setiap puak tersebut, hanya percaya dengan amalan mereka sahaja dan menyalahkan amalan puak yang lain.

Hal-hal yang sedemikian, tidak sangat berbeza dengan apa yang berlaku di kalangan umat Islam, khasnya yang terkini.

Bezanya, umat Islam tidak mengubah al-Quran, tidak meminda isinya dan menjaga al-Quran itu dengan baik.

Tetapi apabila mereka (umat Islam) diberi kuasa memerintah, hukum-hukum Allah digendalakan dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia.

Undang-undang Allah diketepikan, manakala undang-undang manusia diketengahkan.

Hukum-hukum manusia diagung-agungkan, manakala hukum Allah diremehkan.

Contoh terdekat yang boleh kita lihat, penyelewengan hukum-hukum Allah di kalangan umat Islam, sama ada dengan cara penuh kesedaran atau kejahilan.

Dalam hal undang-undang seperti kesalahan membunuh, mencederakan, mencuri, merompak, berzina, menuduh orang lain berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad, semuanya diperuntukkan di bawah hukuman undang-undang ciptaan manusia.

Malangnya tidak satu pun kesalahan-kesalahan itu dihukumkan dengan hukum yang ditetapkan Allah.

Semua kesalahan tersebut ada yang dibicarakan di mahkamah ciptaan manusia yang dinamakan Mahkamah Sivil, ada yang dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Malah Mahkamah Syariah juga tidak mensabitkan semua kesalahan tersebut dengan hukum Allah.

Seluruhnya (kesalahan jenayah) dihukum dengan undang-undang manusia, didenda dengan ringgit atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali.

Tidak berpandukan kepada hukum Allah dan mengenakannya dengan hukuman manusia, ini bererti ia merupakan penyelewengan kepada hukum Allah dengan meminda ketetapan Allah.

Sebagai Muslim atau pemerintah negara umat Islam yang jelas beragama Islam, sebenarnya tidak diberi pilihan kepada mereka untuk menghukum mereka, selain daripada hukum Allah.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...(hingga akhir ayat)." (Surah al-Maidah, ayat 49)

Perintah Allah kepada yang beriman dengan-Nya dan kitab-kitab-Nya agar melaksanakan hukum Allah berulang banyak kali dalam al-Quran.

Sebagai contoh, Surah al-Baqarah (ayat 213), Surah ali-Imran (ayat 23), Surah al-Maaidah (ayat 42, 44, 45, 47, 48 dan 49), Surah Shaad (ayat 22 dan 26), Surah an-Nuur (ayat 51) dan Surah Mumtahanah (ayat 10).

Banyak lagi ayat-ayat sedemikian, di mana Allah memberi penekanan, khususnya pemerintah agar melaksanakan hukum-hukum Allah dan jangan diselewengkan hukum tersebut.

Penyelewengan kepada hukum Allah SWT ini tidak sahaja sekadar menukarkan hukum hudud kepada hukum lain, tetapi sampai kepada peringkat menentang hukum Allah dan melaksanakan undang-undang mereka.

Riba yang diharamkan diubah kepada mengharuskannya dengan undang-undang perbankan konvensional, judi yang diharamkan dibolehkan dengan mendapat lesen, minuman yang memabukkan dibolehkan membuat perniagaannya serta dihidangkan sebagai minuman dengan permit perniagaan yang khusus.

Inilah yang Allah SWT sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): "...Oleh itu siapakah yang lebih zalim lagi daripada mereka yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya)." (Surah al-An'aam ayat 157)

Manusia tidak sepatutnya berpaling daripada hukum Allah atau meninggalkannya, sebaliknya mengambil hukum manusia, kelak mereka akan menempuh azab Allah. Wallahua'lam.

sumber: harakahdaily